KUALA LUMPUR: Kemudahan berhubung secara dalam talian dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilaksana menerusi portal 1Malaysia Pengguna Bijak (1MPB) bermula semalam, gagal dimanfaatkan pengguna tempatan sebaik mungkin.
Sesi soal jawab yang diadakan selama sejam mulai 6 petang, sepatutnya dijadikan medan bertanya mengenai isu kepenggunaan, malangnya disalah guna dengan mempersoal kos keseluruhan pembikinan portal berjumlah RM1.4 juta itu.
Pemerhatian Harian Metro mendapati, meskipun sesi bermula dengan baik pada awalnya tetapi ia melencong jauh daripada landasan sebenar apabila beberapa minit berikutnya beberapa pengguna ‘menyerang’ dengan soalan yang bukan-bukan secara bertubi-tubi.
Lebih teruk dakwaan sesetengah pihak yang menyelar kos pembikinan portal berkenaan sebagai satu pembaziran dan tidak masuk akal, memaksa Ismail Sabri menjelaskannya secara terperinci termasuk mengemukakan maklumat pemberian tender yang dilaksana secara terbuka.
Katanya, nilai RM1.4 juta untuk membangunkan laman web yang dilancarkan kelmarin dan maklumat pelbagai guna di dalamnya adalah sangat wajar, malah beliau menegaskan jumlah berkenaan termasuk promosi serta urusan penyelenggaraan secara keseluruhan. “Pembangunan portal 1MPB ini kita harap akan menggalakkan perang harga antara peniaga (tempatan) kerana pengguna tentu akan memilih kedai yang menjual barangan dengan harga yang lebih murah (berdasarkan maklumat yang diperoleh mereka). “Maka, RM1.4 juta adalah wajar, ia juga termasuk promosi dan penyelenggaraan. Kalau ada (pihak) yang boleh bangunkan laman web secara percuma, datanglah bawa proposal (kertas cadangan) kepada saya.
“Sebabkan ada (pihak) yang persoalkan mengenai kos itu (pembikinan portal) maka kementerian sudah membuat tender. Sekarang ini semua ‘open’ tender, mana ada runding terus lagi (jawab apabila ada yang persoalkan ketulenan tender),” katanya pada sesi soal jawab di 1MPB, semalam.
Jawapan Ahli Parlimen Bera itu bagaimanapun belum meredakan ‘isu’ hangat pengguna hingga memaksa beliau mencabar mereka yang meragui ketelusan pemberian tender supaya memberi alamat dan maklumat diri untuk dihantar maklumat berkenaan secara menyeluruh.
“Sila berikan nama dan alamat kepada sesiapa yang meragui mengenai ketelusan tender untuk membangunkan website ini, saya akan hantarkan ‘detail’.
“(Apabila tidak menerima maklum balas beliau menambah) takut ke? Macam mana saya nak berikan makluman tender itu kalau saya tidak dapat nak kirimkan maklumat, jadi saya cabar kepada sesiapa yang tuduh pemilihan tender tak telus berikan alamat supaya saya boleh poskan,” katanya.
Keadaan menjadi semakin celaru apabila ada pihak mendesak maklumat dikemukakan segera menerusi ‘link’ tertentu dan akhirnya diputuskan Ismail Sabri dengan berkata, “Untuk dapatkan maklumat mengenai keputusan tender ini , sila rujuk ke laman web www.kpdnkk.gov.my, menu perolehan & pilih arkib - tender KPK(T)2/2010”. Beliau turut melahirkan kekesalan berikutan pengguna yang menggunakan sesi soal jawab itu secara tidak matang dan berperwatakan seperti budak-budak.
Mengakhiri perbualannya Ismail Sabri menjelaskan, “OK semua, walaupun saya tak berpuas hati dengan tahap perbincangan yang dibuat hari ini, sekurang-kurangnya saya tahu bagaimana mentaliti sesetengah pengguna. “Bagaimanapun saya gembira kerana ada yang rasional seperti (pengguna) Kevin ,OTL dan beberapa yang lain. Insya-Allah minggu depan kita jumpa lagi. Kepada yang bertanya mengenai tender, semak maklumat melalui website yang saya sebutkan tadi. Salam,” katanya.
PETALING JAYA: “Segelintir pengguna yang menyertai sesi soal jawab di portal 1Malaysia Pengguna Bijak (1MPB), semalam (kelmarin) sememangnya sudah berniat untuk ‘menyerang’ kementerian, bukannya membincangkan isu kepenggunaan.
“Kalau beginilah pemikiran masyarakat, tiada gunanya kita (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) mewujudkan portal berkenaan. Tapi kita akan tengok bagaimana perkembangannya minggu depan,” kata menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau mengulas laporan Harian Metro, semalam, mengenai sesi soal jawab beliau bersama pengguna portal 1MPB di www.1pengguna.com, sejam bermula 6 petang, kelmarin.
Berdasarkan laporan, Ismail dikatakan ‘diserang’ dengan soalan bertubi-tubi daripada pengguna yang mempersoalkan kos keseluruhan pembangunan portal berjumlah RM1.4 juta, hingga memaksa beliau memperjelaskannya terperinci termasuk mengemukakan maklumat pemberian tender yang dikatakan secara terbuka.
Menurutnya, sesi berkenaan sewajarnya dimanfaatkan pengguna untuk membincangkan isu dan masalah berkaitan kepenggunaan seperti harga, bukannya ‘menyerang’ kementerian.
“Sebelum ini, saya menganggap masyarakat kita mempunyai pemikiran rasional dan sudah bersedia membincangkan isu yang serius namun sebaliknya. Malah ada rakan portal menggunakan nama samaran berbentuk lucah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Akademi Peruncitan, di sini, semalam.
Ismail Sabri turut menafikan kos keseluruhan pembangunan 1MPB sebagai pembaziran berikutan ia digunakan bagi penyelenggaraan portal termasuk sistem SMS, integrasi data dan penambahbaikan sistem.
Selain itu, pengguna boleh memanfaatkan kemudahan disediakan termasuk ‘price watch’ bagi tujuan perbandingan harga barang di pasaran malah dijangka bakal mewujudkan ‘perang harga’ antara peniaga, sekali gus memberi kebaikan kepada pengguna.
Menurutnya, biarpun 1MPB cuma beroperasi selama dua hari bermula Rabu lalu, hits pengguna yang melayari portal berkenaan sudah mencecah 3.54 juta biarpun mengalami beberapa masalah ketika menggunakannya.
Sebelum ini, beliau hanya menganggarkan kira-kira 300,000 pengguna akan melayari 1MPB pada hari pertama ia dilancarkan namun tidak menyangka portal berkenaan mendapat perhatian ramai, selain mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan.
Dalam majlis yang sama, Ismail Sabri turut menerangkan penawaran tender 1MPB terbuka dan telus kerana dipilih jawatankuasa tender mewakili beberapa kementerian dan agensi.
Katanya, sebelum projek berkenaan diberikan kepada Sand Consulting Sdn Bhd, kementerian sudah menyiarkan penawaran tender menerusi surat khabar.
No comments:
Post a Comment