‘Tak munasabah RM300 urus pinjaman’
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PUTRAJAYA: “Dalam dunia ini tak ada yang percuma, tetapi tidak munasabah kamu (pusat kereta terpakai) mengenakan bayaran sehingga RM300 untuk menguruskan pinjaman dari bank untuk pembelian kereta dengan alasan mencuba beberapa bank selepas pinjaman tidak diluluskan,” kata Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), M Suppiah.
Beliau berkata, jika pihak pusat kereta terpakai terbabit mengenakan caj RM100 untuk dibayar kepada ‘runner’ atau proses menyiapkan dokumen, itu lebih wajar dan jumlah itu tidak sepatutnya lebih tinggi.
“Saya setuju dengan pihak penentang yang menggunakan wang itu menguruskan proses permohonan pinjaman, tetapi tidak logik sekiranya terlalu tinggi seperti yang dinyatakan pihak penentang tadi (semalam).
“Dia mempunyai 15 panel bank, kalau dia caj RM100 bagi setiap bank bermakna pihak yang menuntut (PYM) kena bayar RM1,500. Itu tidak munasabah,” katanya ketika perbicaraan antara jurujual, Nor Hidayu Mohd Nor, 22 dan Liong Auto Team Trading di bilik persidangan TTPM, di sini, semalam.
Berikutan itu, TTPM mengarahkan Liong Auto Team Trading yang beralamat di Semenyih, Kajang, membayar semula RM4,900 kepada Nor Hidayu Mohd Nor dalam 14 hari selepas tarikh perintah dikeluarkan iaitu semalam.
Nor Hidayu berkata, dia ke kedai kereta terpakai terbabit pada 31 Disember tahun lalu untuk membeli Myvi dengan harga RM42,000 dan dia diminta membayar RM5,000 sebagai deposit.
Kakitangan di pusat kereta terpakai terbabit berjanji akan menguruskan pinjaman bank dengan mengenakan bayaran RM100 sekiranya pinjaman diluluskan.
Menurutnya, selepas dua minggu dia diberitahu pinjaman tidak diluluskan kerana gaji pokoknya tidak cukup untuk membuat pinjaman, selain diminta menambah deposit RM4,000 untuk menyokong pinjaman.
Bagaimanapun, katanya dia enggan membayar dan ingin mendapatkan semula deposit RM5,000 yang dibayar.
“Tetapi mereka hanya bersetuju membayar RM4,700 kerana menyatakan sudah menggunakan RM300 untuk menguruskan perjanjian dengan tiga bank dengan bayaran RM100 setiap satu,” katanya.
No comments:
Post a Comment